Wednesday 29 October 2014

~~Kenapa wanita mengandung kerap buang air?~~

Selamat sejahtera semua. (day 15th)

Pastinya kebanyakan yang ingin tahu tentang isu ini adalah dari golongan ibu mengandung sendiri. Tapi tak terkecuali juga suami-suami mithali yang cuba mencari sumber untuk menenangkan gundah hati si isteri yang sedang hamil. Semoga perkongsian ini akan membawa manfaat kepada anda semua.

Gejala kerap membuang air ketika hamil adalah perkara biasa. Namun begitu hal ini mungkin boleh menjadi luar biasa jika muncul tanda-tanda tertentu seperti yang akan saya bincangkan sebentar lagi.





Tanda awal kehamilan
Namun juga berita baik bagi anda yang merasa diri anda tidak hamil, kerap membuang air kecil juga adalah antara tanda-tanda awal kehamilan. Jika anda mempunyai situasi ini bersama tanda-tanda kelainan lain yang berlaku kepada diri anda, segeralah lakukan pemeriksaan ye. Bukan apa.. kehamilan ni lebih baik diketahui awal supaya kita dapat menjaga apa yang patut. Takut-takut terlanggar pantang orang mengandung.


Kenapa ibu hamil kerap buang air kecil?
Ketika hamil, isipadu darah di dalam tubuh seseorang wanita itu akan bertambah sebanyak 30% hingga 50% dari biasa. Penambahan darah ini digunakan untuk membina rahim. Ia juga berfungsi untuk membantu organ tubuh yang akan bekerja lebih kuat ketika hamil. Selain itu, penambahan isipadu darah ini akan membantu menggalakkan pertumbuhan jaringan payudara dan gusi si ibu serta mengangkut oksigen dan makanan ke janin.

Oleh itu, buah pinggang akan bekerja lebih keras untuk menapis jumlah peningkatan darah yang mendadak yang juga menyebabkan air kencing lebih banyak terhasil. Tapi tahukah anda juga bahawa peningkatan jumlah darah juga akan berlaku di bahagian pinggul wanita yang hamil? Ini menyebabkan kantung rahim menjadi penuh dan perlu dikosongkan sekerapnya.

Selain itu, saiz bayi dan rahim yang semakin membesar juga akan menekan pundi kencing si ibu sekaligus menyebabkan si ibu kerap merasa ingin kencing dan kadangkala terkencing dengan sendirinya.

Ginjal dan saluran air kencing juga membesar kerana peningkatan kadar hormon progesteron yang berlaku sebaik sahaja janin berasa di dalam kandungan. Dan apa yang paling ditakuti adalah sekiranya seseorang ibu hamil itu menghidap diabetes gestasi (diabetes ketika hamil) juga akan menyebabkan kekerapan seorang wanita hamil untuk membuang air kecil.


Cara mengatasi
Anda hendaklah mengurangkan pengambilan minuman yang menggalakkan pengumpulan air kencing di dalam ginjal seperti minuman berkafein dan berkarbonat. Sebaiknya hentikan terus pengambilan minuman seumpama ini sepanjang kehamilan kerana minuman seperti ini sebenarnya mengganggu penyerapan nutrisi yang sepatutnya diperolehi oleh anda dan bayi.

Ketika kehamilan, anda seharusnya minum air masak dengan banyak. Walaupun masalah kerap membuang air kecil ini mungkin mengganggu aktiviti seharian anda, namun anda jangan pula mengurangkan kadar air yang sepatutnya anda ambil kerana jumlah air yang cukup adalah amat penting kepada anda dan bayi ketika ini. Pengurangan cecair boleh menyebabkan dehidrasi, dan anda perlu minum banyak untuk membantu pengaliran nutrien kepada bayi anda. Sebaiknya anda boleh mengubah waktu pengambilan air masak ini dengan cara banyak minum di siang hari dan mengurangkan pengambilannya pada waktu malam.

Selain itu, pastikan pundi kencing anda telah benar-benar kosong setiap kali membuang air kecil. Bagi anda yang kerap berjalan jauh ataupun lokasi tempat kerja yang jauh sehingga anda akan berada lama di dalam kenderaan, pastikan anda telah membuang air kecil sebelum dan sejurus anda keluar dan pulang ke rumah.


Tanda-tanda jangkitan pada saluran pundi kencing

Sekiranya anda mengalami tanda-tanda seperti ini, segeralah berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat :
  • Rasa sakit atau panas pada alat sulit ketika membuang air kecil.
  • Anda rasa sangat-sangat hendak kencing namun hanya beberapa titis sahaja yang keluar ketika anda membuang air kecil.
Ini adalah kerana kemungkinan anda telah menghidap jangkitan saluran kencing (UTI). Apa yang anda boleh lakukan adalah dengan minum air yang banyak untuk mencairkan kencing. Jangan lupa untuk segera berjumpa doktor kerana anda mungkin memerlukan antibiotik. Jika masalah ini tidak diubati, ia mungkin akan menyebabkan jangkitan buah pinggang dan meningkatkan risiko kelahiran pra-matang.

Sampai bilakah anda akan mengalami situasi ini?
Kemuncak situasi ini adalah ketika kehamilan sudah berada di peringkat hujung dimana kepala bayi sudah mula turun dan bersedia untuk lahir. Namun begitu, masalah ini akan berakhir tidak lama selepas bayi anda dilahirkan. Ketika di awal proses berpantang, anda akan lebih kerap kencing kerana ketika ini badan anda sedang membuang segala lebihan cairan yang terkandung di dalam sistem darah ketika anda hamil. Selepas beberapa lama, kekerapan membuang air anda akan kembali seperti biasa.


Apapun, selamat berjaya saya ucapkan kepada anda bakal-bakal ibu ni ya. Memang perjalanan untuk menjadi seorang ibu ini tidak mudah. Tingkatkan kesabaran semoga kelahiran si manja dipermudahkan.


-Sekian-



No comments:

Post a Comment