Saturday 8 November 2014

~~ Al-Insyirah Meringankan Beban~~

Day 25th

Assalam..

Selamat datang ke Blog Vitamin Engineer. 

Pernah berlaku satu fasa dalam hidup saya dimana saya mempunyai masalah yang mengganggu minda. Ketika waktu tersebut jiwa menjadi kacau dan tidur juga tidak lena. Hingga suatu hari saya menonton sebuah rancangan kuliah keagamaan. Kuliah hari tu menceritakan tentang kelebihan surah Al-Insyirah yang jika diamalkan, ianya mampu meringankan beban yang menggangu jiwa. 

Sejak hari itu, saya mengamalkan surah ini setiap kali selepas solat. Dan juga setiap kali jiwa resah. Alhamdulillah... Jika kita yakin dan bersungguh-sungguh, pasti akan dapat ketenangan yang didambakan. 

Jadi entri kali ini ialah berkaitan dengan kebaikan surah ini yang saya kumpulkan dari pencarian di internet. Semoga ia membawa manfaat kepada kita semua.


Al-Insyirah




Terjemahan

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

(1) Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: Dadamu (wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayat petunjuk)?

(2) Dan Kami telah meringankan daripadamu: Bebanmu (menyiarkan Islam);
(3) Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?
(4) Dan Kami telah meninggikan bagimu: Sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?
(5) Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,
(6) (Sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
(7) Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),
(8) Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).

Kelebihan-kelebihan Surah Al-Insyirah
1. Nabi Muhammad S.A.W bersabda : "Barangsiapa membaca Surah Al-Insyiraah, seperti ia mendatangi aku dan aku mengambil kesempatan maka menjadi suatu kelapangan daripadaku".

2. Barangsiapa membiasakan membaca Surah Al-Insyiraah selesai mengerjakan solat fardhu, nescaya Allah permudahkan urusannya serta dimudahkan segala keperluannya dan dimudahkan rezekinya. 

3. Sesiapa yang membaca Surah Al-Insyiraah nescaya Allah turut melapangkan dadanya serta dijauhkan daripada segala kesukaran dalam segala urusannya. Dihilangkan segala sifat kesal dan jemu, serta mendatangkan rajin dalam mengerjakan ibadat. 

4. Barangsiapa membaca Surah Al-Insyiraah sembilan kali sesudah solat fardhu nescaya Allah akan menjauhkan daripada kesempitan hidup dan dimudahkan rezeki dalam segala urusan. 

5. Siapa-siapa membaca Surah Al-Insyiraah jadi wirid pada tiap-tiap lepas sembahyang fardhu, nescaya hilang dukacita nya dan mengurniailah oleh Allah s.w.t. akan rezekinya dengan beberapa banyak. 

6. Siapa-siapa sentiasa banyak membaca Surah Al-Insyiraah nescaya mudah mendapat rezekinya dan luas fikirannya, senang membuat sesuatu pekerjaan dan hilang daripadanya sifat malas. 

7. Siapa-siapa membaca Surah Al-Insyiraah 7 (tujuh) kali pada tiap-tiap lepas sembahyang, nescaya terlepas daripadanya kesusahan dan mudah oleh Allah s.w.t. akan rezekinya. 

8. Siapa-siapa membaca Surah Al-Insyiraah 40 (empat puluh) kali pada tiap-tiap lepas sembahyang fardhu selama tujuh hari berturut-turut, nescaya mengurnia Allah s.w.t. kepadanya kekayaan. 
9. Siapa-siapa susah pada suatu pekerjaan, hendaklah sembahyang dengan cara yang tersebut di bawah ini, nescaya sampai maksudnya, iaitu: 
    i. Sembahyang sunat dua rakaat. 

    ii. Pada tiap-tiap rakaat baca Surah Al-Fatihah dan surah (mana-mana surah) 

    iii. Lepas sembahyang, duduk menghadap kiblat dengan tetap bersungguh-sungguh     ingatlah akan Allah s.w.t., dan baca Surah Al-Insyiraah sebanyak bilangan hurufnya. 

    iv. Sesudah membaca Surah Al-Insyiraah, pohonkanlah apa-apa yang di hajati daripada Allah s.w.t. 
10. Siapa-siapa membaca Surah Al-Insyiraah 200 (dua ratus) kali pada tiap-tiap hari ketika matahari naik (waktu dhuha), nescaya memperlihat oleh Allah s.w.t. kepadanya perkara-perkara yang ajaib. 
11. Siapa-siapa berhajat sesuatu perkara, bacalah Surah Al-Insyiraah 700 (tujuh ratus) kali atau 1000 (seribu) kali pada tiap-tiap hari selama ia mengusahakannya, nescaya beroleh apa-apa yang di hajati. 

12. Siapa-siapa menulis Surah Al-Insyiraah pada suatu bekas dan menghapuskannya dengan air mawar kemudian minum, nescaya hilang dukacitanya dan terpelihara daripada terkejut. 


Semoga perkongsian ini membawa manfaat kepada kita semua ye..
-Sekian-

No comments:

Post a Comment